Anak Bumi Kenyalang : Batu Kudik
SIMUNJAN:
Cerita legenda sebuah rumah panjang bertukar menjadi batu akibat panahan petir ratusan tahun lalu mungkin menarik kehadiran pengunjung ke sebuah lokasi dekat Kampung Semalatong di sini.
Ia dikenali sebagai Batu Kudik di kalangan penduduk sekitar.
Kisahnya bermula apabila seorang wanita tua bersama cucunya meminta belas kasihan agar diberi makanan dan minuman daripada penduduk sebuah rumah panjang di situ yang pada masa itu mungkin merayakan Gawai Antu atau majlis perkahwinan sambil bergelak ketawa.
Tanpa menghiraukan permintaan itu, mereka cuma mentertawa dan mempersendakan seterusnya menghalau wanita tua dan cucunya.
Sedih dan marah apabila diperlakukan sedemikian, cucu wanita itu mengikat pakaian di ekor seekor anjing dan menyalakan ekor menyebabkan anjing tersebut berlari ke arah orang ramai yang sedang mabuk di rumah panjang.
Melihat anjing itu berlari, orang ramai mentertawakan anjing itu, lantas rumah panjang itu disambar petir.
Pada permukaan Batu Kudik, terdapat tanda seakan-akan bentuk muka dan tubuh manusia.
Tertarik dengan kisah legenda itu, Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais dan Pegawai Daerah Simunjan Khalid Abdul Manap berkunjung ke lokasi itu pada Ahad lepas.
Naroden berkata sehingga kini tidak ada fakta kukuh mengenai kisah sebenar di sebalik Batu Kudik.
“Cerita diperolehi daripada beberapa orang tua dari Kampung Semalatong, Kampung Spaoh Jalan Punda, Kampung Merbo berdekatan Balai Ringin serta penduduk dari Gedong adalah sama,” katanya pada kunjungan yang turut disertai kira-kira 70 ahli rombongan merangkumi ketua kaum dan pemimpin cawangan dan ranting PBB.
Justeru, beliau memohon Khalid mengumpul lebih banyak maklumat dan kisah daripada orang ramai yang mengetahui cerita Batu Kudik agar ia boleh dirungkaikan menjadi sumber tarikan pelawat.
Comments
Post a Comment